Umno Menentang Penubuhan Malayan Union
Pengenalan
Kekalahan British di Tanah Melayu
atas tangan Jepun dalam tempoh yang singkat menyedarkan British terhadap
kelemahan pentadbiran mereka di Tanah Melayu sebelum perang. Akibat pada Julai
1943, Malayan Planning Unit (MPU) telah ditubuhkan di London untuk merangka
perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu selepas tamat perang
nanti. Pada 31 Mei 1944, kabinet perang telah meluluskan syor penyatuan politik
Tanah Melayu yang dikemukakan oleh MPU. Pada 10 Oktober 1945, Setiauaha Pejabat
Tanah Jajahan British, George Hall, telah mengumumkan parlimen mengenai
penyatuan politik Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malayan Union (MU). Pada
11 Oktober 1945, Harold MacMichael dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan
tandatangan Sultan-sultan bagi mempersetujui penubuhan MU. Beliau melaksanakan
tugasnya dari 18 Oktober hingga 21 Disember 1945. Parlimen British telah
mengeluarkan “kertas putih” yang mengandungi cadangan-cadangan MU.
Cadangan-cadangan MU
Cadangan Perlembagaan MU mengandungi
2 fasal utama, iaitu yang berkaitan dengan pentadbiran dan kerakyatan.
1. Pentadbiran
a.
Negeri-negeri Melayu Bersekutu
(Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan), Negeri-negeri Melayu Tidak
Bersekutu (Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu) dan 2 buah Negeri-negeri Selat
(Pulau Pinang dan Melaka) digabungkan sebagai satu unit politik yang dikenali
sebagai MU.
b.
Singapura diasingkan dari MU kerana
jumlah penduduk Cinanya yang ramai, kedudukan yang strategik dan taraf pelabuhan
bebas. Singapura menjadi wilayah yang berasingan dan ditadbir oleh seorang
Gabenor.
c.
Kedudukan Sultan-sultan dikekalkan
tetapi kekuasaan serta kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai
kuasa dalam pentadbiran. Kuasa Sultan hanya tertumpu dalam hal ehwal agama
Islam dan adat resam Melayu di mana mereka dilantik sebagai Pengerusi Majlis
Penasihat Melayu negeri masing-masing.
d.
Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan
sebagai badan yang menguruskan hal-ehwal tempatan tetapi diletakkan di bawah
kawalan langsung kerajaan pusat.
e.
MU akan menjadi Tanah Jajahan
Mahkota British dengan pemusatan pentadbiran yang diketuai oleh Gabenor di
Kuala Lumpur.
f.
Gabenor akan menjalankan pentadbiran
dengan bantuan Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan Pusat. Selain itu,
Majlis Penasihat juga ditubuhkan.
g.
Seorang Gabenor Jeneral dilantik
untuk mengawasi pentadbiran MU, Singapura dan wilayah Borneo.
2. Kerakyatan
Perlembagaan MU memberi hak dan peluang yang sama kepada
semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan. Syarat kerakyatan:
a.
Lahir di Tanah Melayu atau
Singapura.
b.
Tinggal di Tanah Melayu selama 10
tahun daripada tempoh 15 tahun yang terdahulu sebelum 15 Februari 1942.
c.
Lahir di luar Tanah Melayu tetapi
ibu atau bapa atau kedua-duanya warganegara MU.
d.
Mereka yang tidka layak mengikut
syarat atas boleh memohon menjadi warganegara selepas tinggal di Tanah Melayu
selama 5 tahun.
Sebab penubuhan MU
1. Mewujudkan keseragaman dan kecekapan
MU dilaksanakan supaya dapat mewujudkan keseragaman atau
kecekapan dalam pentadbiran di seluruh Tanah Melayu. Sebelum perang, terdapat 3
bentuk pentadbiran yang tidak seragam, iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu,
Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. James V. Allen
dalam bukunya “The Malayan Union” menegaskan bahawa sistem pentadbiran tersebut
bukan sahaja janggal tetapi mahal. Sistem pentadbiran sebelum perang perlu
dihapuskan kerana ianya mempunyai banyak kelemahan. Sekiranya semua negeri
digabungkan sebagai satu unit politik, ianya bukan sahaja dapat mewujudkan
keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran, tetapi juga menjimatkan belanja
pentadbiran.
2. Melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu
Penubuhan MU bertujuan untuk melahirkan semangat cintakan
Tanah Melayu terutamanya di kalangan orang-orang Cina dan India. Taat setia
orang Cina dan India masih lagi ke negara asal mereka. Diharapkan dengan
pemberian kerakyatan yang longgar, orang Cina dan India akan menumpukan taat
setia kepada Tanah Melayu apabila mereka menjadi warganegara MU.
3. Mengimbangi perkembangan ekonomi
MU juga bertujuan untuk mengimbangi perkembangan ekonomi di
seluruh Tanah Melayu. Sebelum perang, perkembangan ekonomi antara negeri tidak
seimbang. Secara umunya, Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu
lebih maju daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Sekiranya semua
negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya akan mengimbangi
perkembangan ekonomi di seluruh Tanah Melayu.
4. Persiapan ke arah berkerajaan sendiri
Mengikut British, MU merupakan persiapan Tanah Melayu menuju
ke arah berkerajaan sendiri. Sebelum hasrat ini tercapai pentadbiran yang
stabil perlu diwujudkan. Selain itu, kesedaran nasional perlu ditanam di
kalangan penduduk seluruh Tanah Melayu.
5. Meneruskan usaha British
MU juga dilaksanakan bagi meneruskan usaha British untuk
menggabungkan semua negeri di Tanah Melayu sebagai satu unit politik seperti
yang dijalankan sebelum Perang Dunia Kedua. Buktinya: desentralisasi
dilaksanakan dengan tujuan mempengaruhi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu
menyertai persekutuan.
6. Meneruskan penguasaan politik dan ekonomi
Penubuhan MU akan membolehkan British meneruskan
penguasaannya ke atas politik dan ekonomi Tanah Melayu kerana Malayan Union
akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British.
7. Membalas dendam
MU juga dilaksanakan dengan tujuan untuk membalas dendam
terhadap orang Melayu kerana menyokong Jepun. James V. Allen dalam bukunya “The
Malayan Union” menegaskan sejak kekalahan British di tangan Jepun, majoriti
pegawai British bersikap anti-Melayu kerana mereka kecewa dengan tindakan orang
Melayu yang bekerjasama dengan Jepun. Akibatnya, perlembagaan MU amat merugikan
orang Melayu, terutamanya yang berkaitan dengan hak keistimewaan dan kekuasaan
serta kewibawaan Sultan.
8. Mengenang jasa
James V. Allen juga mendakwa penubuhan MU bertujuan
mengenang jasa orang Cina yang telah bekerjasama dengan British untuk menentang
Jepun. Majoriti orang Cina menjadi anggota Malayan People Anti-Japanese Army
(MPAJA) dan bersama-sama British dalam usaha mengusir Jepun dari Tanah Melayu.
Akibatnya, perlembagaan MU dirangka sebegitu rupa yang menguntungkan orang Cina
yang berkaitan dengan kerakyatan.
9. Menghalang usaha ke arah kemerdekaan
MU dilaksanakan bagi menghalang usaha ke arah kemerdekaan
yang diperjuangkan oleh penduduk Tanah Melayu, terutamanya orang Melayu. Sejak
pendudukan Jepun, orang Melayu telah berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan.
Usaha mereka akan terhalang kerana MU akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota
British.
10. Menyusun strategi pertahanan
Penubuhan MU bertujuan memudahkan British menyusun strategi
pertahanan. Sebelum Perang Dunia Kedua, British mendapati sukar untuk menyusun
strategi pertahanan Tanah Melayu kerana bukan semua negeri ditadbir secara
langsung oleh British. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit
politik, ianya akan memudahkan British menyusun strategi pertahanan yang
berkesan.
Penentangan MU oleh orang Melayu
Pengenalan dan penubuhan MU telah
menimbulkan penentangan hebat dari orang Melayu. Sebabnya:
1. Cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan Sultan-sultan
Orang Melayu tidak bersetuju dengan cara Harold MacMichael
mendapatkan tandatangan Sultan bagi mempersetujui penubuhan MU. Semasa diminta
menandatangani persetujuan tersebut, Sultan-sultan tidak diberitahu
cadangan-cadangan yang terkandung dan perlembagaan MU. Sultan-sultan juga tidak
diberi masa cukup untuk meneliti kebaikan dan keburukan MU. Selain itu, mereka
juga tidak dibenarkan berbincang dengan pembesar atau Majlis Mesyuarat Negeri
sebelum menandatangani persetujuan penubuhan MU. Ugutan Harold MacMichael telah
menambahkan kemarahan orang Melayu. Sekiranya mana-mana Sultan enggan
menandatangani persetujuan penubuhan MU, Sultan tersebut akan dianggap
pro-Jepun dan disingkirkan dari takhta. Contoh yang jelas ialah Sultan
Badlishah yang diberi kata dua sama ada menandatangani persetujuan penubuhan MU
atau turun dari takhta.
2. Kekuasaan dan kewibawaan Sultan
Penubuhan MU akan menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan
Sultan. Walaupun kedudukan Sultan dikekalkan, tetapi kekuasaan dan kewibawaan
mereka dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa pentadbiran. Kuasa Sultan
hanya tertumpu dalam hal-ehwal Islam dan adat resam Melayu. Malah kuasa Sultan
dalam hal-ehwal Islam juga terjejas apabila British mencadangkan penubuhan
Majlis Mesyuarat Agama yang dipengerusikan oleh Gabenor. Sultan-sultan dianggap
sebagai pelindung orang Melayu. Kemerosotan kuasa Sultan bererti kehilangan
kuasa orang Melayu.
3. Hak istimewa
Penubuhan MU akan menghapuskan hak-hak istimewa yang
dinikmati oleh orang Melayu sebagai bumiputera Tanah Melayu kerana perlembagaan
MU memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira
bangsa dan keturunan. Orang Melayu tidak mahu hak istimewa dinikmati oleh orang
Cina dan India yang dianggap pendatang yang menumpang di Tanah Melayu.
Penghapusan hak istimewa menyebabkan orang Melayu bimbang penguasaan ekonomi
oleh orang Cina akan bertambah besar dan ini akan meluaskan jurang ekonomi
antara orang Melayu dengan Cina.
4. Hak kerakyatan
Orang Melayu tidak bersetuju dengan syarat kerakyatan yang
longgar mengikut prinsip jus soli. Orang Melayu tidak mahu orang Cina dan India
diberi syarat kerakyatan yang longgar kerana merek masih tidak yakin dengan
taat setia orang Cina dan India terhadap Tanah Melayu. Pemberian taraf kerakyatan
yang longgar akan menyebabkan ramai orang Cina dan India menjadi warganegara
Tanah Melayu. Orang Melayu bimbang orang Cina yang sudahpun menguasai ekonomi
akan menguasai politik apabila bilangan mereka melebihi orang Melayu.
Kebimbangan mereka bertambah kerana pada tahun 1947, jumlah Melayu hanya 49.46%
daripada jumlah penduduk Tanah Melayu.
5. Balas dendam
Orang Melayu juga menentang MU kerana mereka menyedari
perlembagaan MU merupakan balas dendam British terhadap orang Melayu kerana
menyokong Jepun. James V. Allen dalam bukunya “The Malayan Union” mendakwa
sejak kekalahan British di tangan Jepun, majoriti pegawai British bersikap anti
Melayu kerana kecewa dengan tindakan orang Melayu bekerjasama dengan Jepun.
Akibatnya, perlembagaan MU amat merugikan orang Melayu, terutamanya yang
berkaitan dengan hak istimewa dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan.
6. Masa cemas
MU dilaksanakan pada masa cemas dalam hubungan antara orang
Melayu dan Cina akibat pemerintahan Jepun. Oleh itu, orang Melayu mendakwa
perkembangan ini dilaksanakan dalam suasana anti Melayu dan pro Cina kerana MU
merugikan orang Melayu dan menguntungkan orang Cina.
7. Orang Melayu tidak terlibat
Orang Melayu tidak terlibat dalam merangka perlembagaan MU.
Perlembagaan itu dirancang oleh Pegawai British dalam MPU di London. Pendapat
orang Melayu langsung tidak diminta oleh British semasa mereka merangka
perlembagaan tersebut.
Bentuk penentangan
1. Akhbar
Akhbar-akhbar telah memainkan peranan penting dalam
membangkitkan penentangan orang Melayu terhadap MU. Akhbar-akhbar telah
mendedahkan keburukan dan kerugian yang akan dialami oleh orang Melayu jika MU
dilaksanakan. Orang Melayu telah diseru supaya bersatu dalam usaha menentang
MU. Orang Melayu juga diseru supaya memulihkan pertubuhan yang telah wujud dan
menubuhkan pertubuhan baru. Pertubuhan-pertubuhan ini perlu digabungkan bagi
menguatkan penentangan orang Melayu terhadap MU. Berita tentang penentangan
orang Melayu dimuatkan dalam akhbar untuk pengetahuan orang-orang Melayu di
seluruh Tanah Melayu. Di antara akhbar-akhbar tersebut ialah Utusan Melayu,
Warta Negara, Majlis dan Pelita Malaya.
2. Kerjasama
Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu
telah bersatu dan bekerjasama dalam usaha menentang MU. Mereka telah menulis
surat kepada Raja British dan bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di
Tanah Melayu memohon sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu. Mereka
juga mendesak Kerajaan British dan Pejabat Tanah Jajahan membatalkan rancangan
penubuhan MU dan merangka perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah
Melayu khususnya yang dapat melindungi kepentingan orang Melayu. Bekas pegawai
British tersebut telah menulis dalam akhbar di Britain, terutamanya akhbar
Times untuk menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu. Antara
bekas pegawai British tersebut ialah Frank Swettenham, Authur Richard, Cecil
Clementi, Rolland Braddle dan Winstreadt. Orang-orang Melayu telah mengadakan
perarakan dan perhimpunan di semua ibu negeri dan di bandar-bandar lain di
Tanah Melayu untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap MU. Sebagai contoh:
pada 15 Disember 1945, 10 ribu orang telah berkumpul di hadapan istana di Kota
Bahru semasa Harold MacMichael menemui Sultan untuk mendapatkan tandatangan.
Pada 25 Januari 1946, hampir 5000 orang telah mengadakan perhimpunan di Padang
Mahkamah, Alor Setar. Pada 10 Februari 1946, perhimpunan yang dihadiri oleh 15
ribu orang diadakan di Johor Bahru. Satu perhimpunan raksasa yang dihadiri lebih
50 ribu orang diadakan di Kuala Kangsar pada 10 Mac 1946.
3. Kongres
Hasil dari daya usaha Kesatuan Melayu Selangor dan Dato’ Onn
bin Jaafar, Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung
Baru, Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946. Kongres tersebut dihadiri 107 perwakilan
dan 56 pemerhati dari 41 pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu. Kongres
tersebut telah mendesak orang Melayu supaya bersatu dan berusaha untuk
menentang MU. Kongres tersebut juga mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah
pertubuhan Melayu yang akan dianggotai oleh orang Melayu di seluruh Tanah
Melayu. Pada 29 dan 30 Mac 1946, Kongres Melayu Se-Malaya Kedua diadakan di
Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan pertubuhan Melayu tersebut. Akibatnya
lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenali sebagai UMNO
dalam Kongres Melayu Se-Malaya Ketiga di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Dato’
Onn bin Jaafar dilantik sebagai Presiden UMNO yang pertama.
4. Pemulauan
Walaupun mendapat tentangan orang Melayu, British tetap mahu
melaksanakan MU. Akibatnya, Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang
Melayu telah memulaukan upacara panubuhan MU dan perlantikan Edward Gent
sebagai Gabenor pertama pada 1 April 1946.
5. Perkabungan
Selama seminggu sejak penubuhan MU, orang Melayu telah
mengadakan perkabungan untuk menunjukkan betapa sedihnya mereka akibat
penubuhan MU. Dalam perkabungan tersebut, lelaki Melayu memakai songkok yang
dililit kain putih manakal wanita Melayu melilitkan kain putih di lengan baju.
Perkabungan orang Melayu mendapat simpati orang asli. Diberitakan dalam akhbar
Pelita Malaya, bertarikh 5 April 1946, orang-orang Sakai di Ulu Langat telah
keluar ke Pekan dengan memakai bunga-bunga kabung.
6. Ahli Melayu
Ahli-ahli Melayu dalam Majlis Penasihat menarik diri untuk
menunjukkan bantahan mereka terhadap MU.
Kesimpulan
Akibat tentangan orang Melayu dan
perakuan Edward Gent serta Malcolm MacDonald, maka British telah menghantar
satu perwakilan ahli Parlimen British yang diketuai oleh L.D. Grammant dan D.R.
William untuk meninjau kehendak orang Melayu. Hasil daripada laporan mereka,
British bersetuju membubarkan MU dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1
Februari 1948. Persekutuan Tanah Melayu menjadi lindungan British. Dalam
perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu dan
kekuasaan serta kewibawaan Sultan dikekalkan. Selain itu, syarat kerakyatan
telah diperketatkan.